Gambaran Hari Qiamat
✐ Selepas Malaikat
Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan
telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain.
Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya
nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua
makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan
hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan
keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini
menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha
Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun,
Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2,
lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata
tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia
hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di
hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang
membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan
jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu
kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib &
masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api
yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan
binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan
(bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan
dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami
akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua
makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka
tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat
dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit
yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil
bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang
besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari
muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan
matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari
naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi
terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai
kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul
atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka
berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga
kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya
dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh
malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam
ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini
lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih
sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada
bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari
Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang
adil.
ⅱ- Orang muda yang
taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat
hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang
bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak
oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada
Allah".
ⅵ- Lelaki yg
bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka
bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan
Allah.
✐ Oleh kerana
tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua
manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka
terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun
pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan
Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga
ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya
berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s.
(semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa
Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun
perjalanan.
✐ Lalu berdoalah
baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa
baginda.
✐ Selepas itu,
terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk
kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy
Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak
perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga
'Arasy itu tiba dibumi.
✐ 'Arasy ialah jisim
nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang
tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam
bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan
jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang
sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim
nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang
sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah
ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun
menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu
berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke
leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil
untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib
& 'Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur
dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik
beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka
tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali
dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab
adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara
pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran
seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu
diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan
dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan
dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar,
mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk
menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan
oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut
masing-masing dihisab.
✐
Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh
amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki
akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili
oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
✐
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk
menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah
seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi
Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan
penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia
ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan
manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini
tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta
golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada
para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka
akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya
dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat.
Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka.
Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia
lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan
dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh
berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000
tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang
melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan
berjalan kaki. Ada yang tidak dapat
melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka
jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di
kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang
meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan
terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab
Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka
Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya
kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat²
yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku
walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam
itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal
jariahnya.
② Doa anak²nya yang
soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat
yang disampaikannya kepada orang lain.
sumber: Amar Sufi
No comments:
Post a Comment