MP3

HTML/Javascript

Thursday 9 February 2012

~*Lima Sebab Mengapa Jangan Lengahkan Taubat*


~~*Lima Sebab Mengapa Jangan Lengahkan Taubat*~

Bertaubat adalah satu amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam. Taubat memberi ruang untuk seseorang muslim itu kembali memulakan semangat baru setelah berada dalam musibah kegelapan. Kita semua tahu Allah sentiasa membuka pintu keampunanNya kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya.

Malangnya amalan bertaubat ini dipandang rendah oleh segolongan umat Islam masa kini. Mereka menganggap, kerana Allah s.w.t itu maha Pengampun, maka tidak perlulah taubat itu disegerakan.

Mereka menganggap lagi, masa muda adalah masa berhibur dan kehidupan beragama hanyalah untuk golongan tua atau yang hendak mati sahaja. Di kalangan ibubapa pun ada yang berfikiran begini sampai mereka biarkan saja aurat anak-anak gadis mereka didedahkan. Alasan mereka: “biarlah, mereka kan muda lagi”. Pemikiran sebegini cukup merbahaya.

Berikut adalah sebab-sebab yang menjelaskan mengapa menangguh-nangguhkan taubat itu satu tindakan yang tidak bijak, malah satu tindakan gila yang mengundang bahaya.

Sebab 1: Manusia boleh mati bila-bila sahaja

Seperti yang disebutkan dalam entri sebelum ini, jangka hayat umur kita semuanya ditentukan Allah. Tiada siapa yang tahu bila kita akan mati melainkan Allah. Sekiranya taubat dilengah-lengahkan, silap hari bulan kita boleh mati ketika belum lagi bertaubat. Adakah itu satu jenis kematian yang baik? Sudah tentu tidak, inilah apa yang dipanggil sebagai su’ul khatimah (pengakhiran yang buruk). Wai’yadzubillah.


Sebab 2: Takut-takut hati ditutup Allah daripada ingin bertaubat

Taubat yang ditunda-tunda bukan hal main-main. Ini kerana Allah s.w.t yang Maha Berkuasa berhak untuk memalingkan hati seseorang itu daripada hidayah ke arah kesesatan sekiranya manusia itu sendiri yang memilih jalan kesesatan. Allah s.w.t berfirman:
“…dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya” (Surah Ibrahim: 27)

“…demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampaui kederhakaannya, lagi ragu-ragu kepercayaan (terhadap balasan TuhanNya)” (Al-Ghafir: 34)

“…Demikian juga Allah menyesatkan orang-orang yang kufur ingkar” (Al-Ghafir: 74)

Ayat-ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa apabila manusia itu sendiri yang memilih jalan yang salah, maka Allah boleh terus menjauhkan diri mereka daripada kebenaran. Kita khuatir seseorang yang sengaja terus melakukan kemungkaran, Allah s.w.t. akan mengeraskan hati orang tersebut daripada terbuka untuk bertaubat di masa akan datang. Wai’yadzubillah.

Pada masa yang sama, sekiranya seseorang itu memilih untuk bertaubat dan mencari keredhaan Allah, Allah s.w.t akan terus memberikan hidayah demi hidayah kepadanya. Allah s.w.t berfirman:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik” (Al-Ankabut: 69)

Pengajaran di sini ialah, seseorang yang sengaja memilih kemungkaran maka Allah akan terus menyesatkan dirinya, kecuali jika Dia sendiri berkehendak memberikan hidayah kepadanya. Sedangkan orang yang sengaja memilih kebaikan, maka Allah akan terus memandu hatinya ke jalan kebaikan. Ini seolah-olah macam satu konsep nilai berganda.

Sebab itu kita boleh lihat, manusia yang melakukan kemungkaran itu boleh semakin cenderung untuk melakukan kemungkaran yang lain. Contohnya, seperti sepasang kekasih
yang keluar berpasangan, kemudian membawa kepada zina, kemudian kepada jenayah membuang anak. Semua ini bermula daripada satu kemungkaran yang terawal tadi iaitu: keluar berpasangan.

Sedangkan apabila kita melakukan amal soleh dengan ikhlas, maka hati kita akan berasa selesa dan terkejar-kejar untuk melakukan amal soleh yang lain. Tentu kita pernah lihat orang yang rajin ke masjid, tapi dia juga rajin menghadiri kuliah agama, rajin belajar, berakhlak Islami dan lain-lain amal mulia. Oleh itu, sentiasalah berusaha melakukan amal kebaikan supaya kita sentiasa beroleh petunjuk daripada Allah. InsyaAllah.

Sebab 3: Bertaubatlah sebelum keaiban makin tersebar di kalangan manusia

Kerap kali orang yang melengahkan taubatnya akan berasa sukar untuk berpaut kepada perubahan dirinya selepas dia bertaubat. Ini biasanya berlaku jika wujud pandangan seorang atau fitnah daripada orang sekeliling kepadanya. Ingat, dosa yang dilakukan seseorang tidaklah mustahil untuk diketahui oleh orang lain.

Contohnya, jika ada seorang wanita mendedahkan auratnya atau berpakaian seksi, tentu ramai orang sekelilingnya yang pernah menjadi saksi. Paling teruk, jika berita ini diketahui oleh kaki-kaki pengumpat, habislah berita keaiban wanita ini tersebar luas. Nama wanita ini akan menjadi semakin buruk daripada hari ke hari.

Beginilah prosesnya; lagi lama taubat itu ditangguh, lagi banyaklah dosa yang akan dipertontonkan, lagi banyaklah cerita yang boleh disebarkan, lagi buruklah nama dirinya, lagi kucar kacirlah kehidupannya selepas bertaubat nanti. Semua ini menyebabkan kehidupan selepas taubat akan menjadi sangat sukar dan penuh dengan tekanan.

Setiap kali nak berbuat baik, ramai orang tidak percaya kepadanya kerana teringatkan akan dosa-dosanya yang dilakukan sebelum ini. Memanglah kita tahu tindakan orang-orang ini salah, tapi ragam manusia tiada siapa boleh jangka. Sebab itu kita harus berhati-hati dan sentiasa jauhkan diri daripada kemungkaran. Silap hari bulan, kerana tak tahan dengan pandangan serong orang lain, si pentaubat ini boleh berputus asa dengan taubatnya dan kembali melakukan kemungkaran. Jadi, kalau tak mahu kehidupan selepas bertaubat menjadi begitu payah, lebih baik bertaubat segera. Inilah penyelesaian terbaik.

Sebab 4: Lagi lambat taubat ditunda, lagi banyak dosa yang perlu ditebus

Tidak patut dikatakan taubat itu sudah memadai dengan hanya menyesal dan memohon ampun sahaja.

Dalam Al-Quran sudah jelas disebut bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaubat itu ialah dia akan melakukan amal soleh, kerana amal soleh inilah yang bakal menggantikan dosa-dosanya yang lampau. Allah berfirman:
“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Al-Furqan: 70)

Jadi, lagi lama taubat ditunda, lagi berkumpullah dosa. Apa maknanya di sini? Maknanya lagi banyaklah amal soleh yang perlu dilakukan sebagai usaha untuk menebus dosa-dosa tersebut.

Persoalannya kini, adakah seseorang itu dapat menjamin dirinya untuk sempat melakukan amal soleh yang memadai di sisi Allah sebelum nyawanya dicabut nanti? Bagaimanakah sekiranya nyawanya dicabut setelah hanya baru sehari bertaubat? Adakah dia yakin dia bakal masuk syurga? Dia tidak akan tahu. Kita pun tidak akan tahu. Tiada siapa yang tahu kecuali Allah.

Sebagai langkah berjaga-jaga, wajarlah untuk bertaubat segera mungkin. Kemudian, kerjakanlah amal soleh banyak-banyak. Kalau mahu bertaubat di usia tua, tenaga ketika itu dah kurang, bagaimana hendak berkejar-kejar melakukan amal soleh sedangkan kudrat tidak seberapa? Usia muda adalah masa yang paling bagus untuk mengumpul saham akhirat. Jadi, apa tunggu lagi?

Sebab 5: Menunda taubat menyukarkan penuhi syarat taubat

Taubat terdiri daripada beberapa komponen iaitu: berhenti dan menyesal, memohon ampun dan maaf, berazam tidak mahu mengulanginya lagi serta melakukan amal soleh untuk menebus dosa-dosa tersebut. Sebenarnya, seseorang yang menunda-nunda taubat sukar untuk mendapat elemen ‘menyesal’ dalam taubatnya. Tanpa ada rasa menyesal, belum layak lagi dinamakan sebagai taubat.

Cuba anda fikirkan, sekiranya ada seseorang berkata “aku akan bertaubat minggu depan”, adakah masuk akal bahawa dia boleh menjamin dirinya untuk merasa menyesal pada minggu hadapan? Adakah rasa menyesal itu seperti lampu elektrik, yang boleh dibuka dan ditutup menurut sesuka hati kita? Tidak! Bahkan menyesal itu hadir secara automatik, melalui bermuhasabah diri, kemudian penyesalan hanya akan sempurna apabila hidayah Allah telah meresap ke dadanya.

Siapa yang menyesal, pasti dia akan bertaubat dengan segera dan dia tidak akan sanggup untuk melengahkan taubatnya. Sedangkan siapa yang tidak menyesal, itu belum dinamakan sebagai bertaubat lagi, sebab hatinya belum terasa perasaan bersalah.

Kesimpulan

Bertaubat adalah satu tuntutan agama yang sangat penting. Baik untuk dosa kecil mahupun dosa besar, taubat tetap perlu dilakukan. Allah Maha Pengampun sentiasa membuka pintu taubat bagi setiap hamba-hambaNya selagi ajal belum menjelma. Malangnya hakikat ini diambil mudah oleh ramai orang yang menjadikan konsep ini sebagai sebab untuk taubat ini boleh ditunda-tunda.

Hakikatnya bukanlah begitu. Lima sebab di atas menjelaskan mengapa menunda taubat itu satu kesilapan besar. Apa yang jelas, meremehkan penyegeraan taubat adalah satu kebiadaban yang jelas terhadap agama.

Semoga Allah Terima Taubat Kita InsyaAllah, Amin Ya Allah....~~

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment