MP3

HTML/Javascript

Thursday 9 February 2012

CARA MEMULIAKAN ANAK-ANAK...




Anak anak adalah amanah Allah s.w.t kepada ibubapa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Anak anak hendaklah dimuliakan dengan iman dan islam, disayangi, dipelihara, dihiasi dengan adab mulia dan dididik dengan sempurna. Bukannya dibiarkan mereka terdedah kepada suasana kekeluargaan yang jauh dari petunjuk Allah dan Rasul s.a.w, pergaulan yang mencetuskan dosa dan maksiat serta persekitaran yang fasad lagi merosakkan.

Ibu bapa bukan sekadar berkewajipan menyediakan kehidupan yang baik buat anak-anak di dunia, apa yang paling penting menyediakan kehidupan yang bahagia dan sejahtera di akhirat. Di dalam al-Quran, Allah Taala memerintahkan orang-orang beriman supaya mereka menjaga keselamatan diri dan keluarga dari api neraka (at-Tahrim:6).

Selain mendidik dan mengasuh anak-anak mengenal Allah dan Rasul, memuliakan anak-anak juga bererti memenuhi hak-hak mereka sejak awal kehidupan mereka di dunia ini:

1.Besyukur menerima kelahiran

Terimalah kelahiran anak-anak ke dunia ini dengan penuh kesyukuran dan keinsafan serta zahirkan rasa sukacita di dalam jiwa. Ingatlah bahawa Allah mengurniakan cahaya mata kepada kita supaya menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukurlah denganb kehadiran anak-anak seadanya kerana masih ramai lagi pasangan yang belum dikurniakan zuriat penyambung keturunan.
Sungguh, memiliki anak dari hubungan yang halal adalah anugerah Allah yang mahal harganya. Natijah dari hubungan bermaruah lagi diredhai Allah s.w.t. Hanya dengan memperolehi cahaya mata dari hubungan yang halal dan sah disisi syarak sahaja membuatkan kita layak dinobatkan sebagai ibu dan ayah yang sejati.

2.Mengazankan di telinga kanan anak saat lahir ke dunia

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w (melaungkan) azan di telinga Husain r.a ketika dia baru saja dilahirkan oleh Fatimah r.ha. (Riwayat Al Hakim).

Dengan menghayati dan melaksanakan wasiat Rasulullah s.a.w ini, sedar atau tidak kita telahpun berusaha menjadikan kalimah tauhid itu sebagai kalimah pertama yang menyerap masuk kedalam jiwa, minda dan rohaniah anak.
Dengan melaksanakan sunnah ini, mudah mudahan anak anak akan segera terpanggil untuk mengagungkan Allah s.w.t dengan menunaikan solat apabila mendengar azan. Anak anak juga diharapkan sentiasa dapat menjunjung tinggi syariat Allah di dalam setiap aspek kehidupan di mana saja mereka berada.
Sebagaimana hidup seorang muslim dimuliakan dengan kalimat tauhid, maka demikianlah diharapkan semasa nyawanya mahu terpisah dari badan. Semoga kalimah tauhid (shahadah) yang suci itu tidak lekang di bibir dan sentiasa bertahta dihatinya.

Selain itu, azan dan iqamah di telinga anak yang baru dilahirkan berupaya menjadi satu sistem keselamatan atau sebagai benteng (perisai) dirinya daripada godaan jin dan syaitan yang bernama Ummu Sibyan. Sabda Nabi s.a.w: barang siapa yang memperolehi anak lalu diazankan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, dia (anak itu) tidak akan dimudaratkan oleh syaitan. (Riwayat Baihaqi).

3.Tahnik

Satu sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya berupa pemberian makanan dan minuman yang terbaik, manis dan lembut di saat saat pertama kehidupan anak.

Dari Abu Musa r.a, katanya: "Anakku lahir lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w, lalu Baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakan pada lelangitnya dengan buah kurma" (Sahih Muslim)

Dari Asma' ra. bahwa beliau hamil Abdullah bin Az-Zubair. Asma' berkata, "Aku bepergian dan menyempurnakan shalat, aku tiba di Madinah dan sampai di Quba' untuk melahirkan. Lalu bayiku aku bawa kepada Rasulllah SAW dan aku letakkan di kamar beliau. Beliau SAW lalu meminta dibawakan kurma lalu dikunyahnya, kemudian dilepehkan ke mulutnya. Maka liur Rasulullah SAW adalah benda pertama yang masuk ke dalam perutnya. Dan beliau mentahniknya dengan kurma, kemudian beliau mendoakannya dan memohon keberkahan atasnya." (HR Bukhari, Muslim, Ahmad)

Tahnik juga dikenali sebagai "membelah mulut bayi" afdal dilakukan pada hari pertama bayi dilahirkan tetapi di Malaysia amalan ini biasa dilakukan pada hari ketujuh atau hari Aqiqah.

4.Menyusu Anak Selama Dua Tahun

Firman Allah Ta'ala: "Ibu ibu hendaklah menyusukan anak anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan" (Al Baqarah 233).

5.Memberi nama yang baik

Mungkin ada yang bertanya, ada apa dengan nama?
Nama mempunyai pengaruh penting dalam kehidupan seseorang baik di dunia maupun akhirat.

Sabda Nabi s.a.w: Tiap tiap bayi itu tergadai dengan aqiqahnya, yang harus disembelihkan kambing pada hari yang ketujuh dan dibuang rambutnya dan diberi nama" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Nabi s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Oleh itu hendaklah kamu mengelokkan nama kamu" (Riwayat Abu Daud)

Imam Ibnu Qayyim menyatakan bahawa ada hubungan yang erat antara nama dengan kualiti kecemerlangan anak. Pemberian nama yang baik akan mendorong empunya nama untuk berbuat baik sesuai dengan makna yang terdapat didalamnya. Kerana nama yang diberikan oleh ibubapa mengandungi doa dan harapan.

6.Aqiqah

Menyembelih haiwan kurban untuk kelahiran mereka pada hari yang ketujuh.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Bayi lelaki diaqiqah dengan dua ekor kambing yang memenuhi syarat dan bayi perempuan cukup dengan seekor kambing"
(Riwayat Ad Darami).

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Tiap tiap bayi itu tergadai dengan aqiqahnya yang harus disembelihkan kambing pada hari yang ketujuh dan dibuang rambutnya dan diberi nama" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

7.Cukur Rambut

Sabda Nabi s.a.w: "Timbanglah rambut Al Husain dan sedekahlah perak seberat itu" (Riwayat Al Hakim)

Sabda Nabi s.a.w lagi: "Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya" (Riwayat Ahmad dan Tarmizi).
Rambut bayi hendaklah dicukur keseluruhannya kerana mencukur sebahagiannya adalah dilarang seperti yang datang pada hadis: Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w melarang mencukur sebahagian rambut di kepala".

8.Khitan (Berkhatan)

Amalan berkhitan jelas bermanfaat bagi kesihatan. Dengan khitan bererti sejak kecil ia sudah dipelihara harga diri, kehormatan dan kesihatannya. Khitan adalah memotong kulit yang menutupi kepala zakar (bagi lelaki) dan memotong daging lebih atau clitoris (bagi perempuan).

Khitan dalam agama Islam berlaku untuk lelaki dan perempuan. Para Ulama berbeza pendapat dalam berkhitan. Menurut Mazhab Hanafi, Maliki, salah satu pendapat Imam Syafie dan salah satu riwayat Hambali mengatakan bahawa khitan hukumnya sunah bagi lelaki dan keutamaan bagi perempuan. Pendapat ini berdasarkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda: 'Khitan itu sunnah bagi lelaki dan keutamaan bagi wanita"
(Riwayat Baihaqi).

Hadis tersebut diragukan kesahihannya, namun diperkuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: 'ada lima perkara yang termasuk fitrah (keutamaan dalam agama) iaitu, Khitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan merapikan janggut/kumis" (riwayat Bukhari).

Pendapat kedua, Mazhab Syafie dan Hambali dan Sahnun (dari ulama Malikiyah) mengatakan bahawa khitan hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan. Pendapat ini berlandaskan kepada ayat dari surah An Nahl ayat 123, yang memerintahkan Nabi Muhammad agar mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Termasuk ajaran Nabi Ibrahim adalah berkhitan, sebagaimana dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa: "Nabi Ibrahim melaksanakan khitan ketika berumur lapan puluh tahun dengan menggunakan kapak" (Riwayat Bukhari)

Pendapat ketiga, diriwayatkan oleh Ibnu Qudamah dalam kitabnya Al Mughni, menyatakan bahawa khitan hukumnya wajib bagi lelaki dan sunah bagi perempuan.
Dr Yusof Qardawi dalam fatwa Mu'asirahnya menyebut bahawa khitan bagi lelaki adalah syiar.

9.Memberi Didikan Dan Bimbingan Yang Baik

Al Quran menjelaskan betapa pentingnya didikan anak anak ini melalui kisah Lukman ketika mendidik anak anaknya:

"Dan (ingatlah) ketika Lukman berkata kepada anaknya, pada waktu ia memberi pelajaran pada anaknya: 'hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) itu adalah benar benar kezaliman yang besar" (Lukman 13)

Dengan pendidikan yang benar menurut ajaran Islam maka anak akan menjadi individu yang matang dan bertanggungjawab serta mampu memberikan sumbangan yang optimum dan maksimum bagi kemaslahatan umat.
Kewajiban orang tua pada ahirnya disempurnakan dengan membantu mereka dalam membangunkan keluarganya. orang tua berperanan dalam memilih siapakah calon terbaik bagi suami atau isteri kepada putera dan puterinya mengikut ukuran kebaikan pada pandangan Islam.

Jika Ada Salah Dan Silap.. Sila Lah Tegur.. Dan Maafkan Kami Jika Ada Salah Dan Silap.. Kepada Yang Nak Share.. Nak Tag.. Silakan.. Tak Perlu Minta Izin.. Kami Benarkan.. Moga Ia Membawa Manfaat Kepada Yang Membacanya..

No comments:

Post a Comment